Monday, 11 February 2013

TRANS MONGOLIA PENGEMBARAAN MERENTASI DUA BENUA



CATATAN pengembaraan pembaca Mingguan Malaysia Suhaila Mustaffa yang tersiar pada hari Ahad 27-01-2013. 

Cerita rakan dari Amerika Syarikat (AS) tentang pengembaraannya menaiki kereta api melalui Laluan Kereta Api Trans Siberian membuatkan saya tertarik melakukan perkara sama. 

Kereta Api Trans Siberian adalah jaringan laluan kereta api yang menghubungkan Vladivostok dan Moscow, Rusia. Kedudukan Vladivostok di timur dan Moscow di barat negara terbesar dunia ini menjadikannya laluan kereta api terpanjang di dunia, iaitu 9,343km. Ia merentasi lapan zon masa dan dibina dari tahun 1891 hingga 1916.

Trans Siberian mempunyai dua pecahan iaitu Trans Mongolian (laluan kereta api dari Beijing ke Moscow melalui Mongolia) dan Trans Manchurian (laluan kereta api dari Korea Utara ke Moscow).

Saya memilih Trans Mongolian kerana agak mudah dan murah untuk ke China dari Kuala Lumpur. Saya lega setelah memperolehi visa ke Rusia kerana banyak dokumen harus disediakan. Setelah menyediakan keperluan dan dokumen, saya memulakan pengembaraan. Saya ke Beijing dan menghabiskan empat hari di sana. Saya menaiki kereta api dari Beijing ke Mongolia dan Mongolia ke Moscow.

Hari berikutnya, saya bangun awal pagi untuk ke Stesen Kereta Api Beijing kerana kereta api dijadualkan bertolak pada 7.45 pagi. Perasaan takut hilang tatkala melangkah masuk ke dalam kabin. Saya disapa mesra tiga penumpang, juga pengembara yang telah sampai lebih awal. Keadaan di dalam kabin sangat ringkas dengan sebuah meja kecil dan empat katil. 

Perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang 30 jam. Masa terluang saya gunakan untuk membaca dan berbual dengan penumpang lain. Terdapat restoran di dalam kereta api tetapi harga makanannya mahal. Kebanyakan penumpang membawa bekalan makanan sendiri seperti mi segera dan biskut. Terdapat beberapa pemanas air untuk kegunaan penumpang.

Pada pukul 9 malam, kereta api tiba di Erlian iaitu sempadan China dan Mongolia. Semua penumpang diarah meninggalkan kereta api bagi proses penukaran roda kerana rel di China dan Mongolia mempunyai kelebaran berbeza. Kami diarah menunggu di sebuah bangunan yang disediakan kerana keadaan di luar sangat sejuk. Di dalam bangunan terdapat sebuah kedai menjual makanan dan bekalan lain. Setelah menunggu lebih tiga jam, kami diarahkan menaiki kereta api semula dan perjalanan diteruskan. Setelah melepasi beberapa halangan pihak imigresen, baru saya dapat melelapkan mata.

Esoknya, pemandangan yang berbeza dari hari semalam dapat dilihat. Jika semalam, banyak pokok dan bangunan, hari ini, apa yang ada hanyalah padang pasir. Saya berasa pelik apabila melihat beberapa orang berjalan di kawasan padang pasir tetapi tiada bangunan.


Ulaan Baatar, Mongolia

Kereta api sampai di Ulaanbaatar iaitu ibu negara Mongolia pada pukul 2 petang. Sebaik sahaja turun dari kereta api, kami dikerumuni pemilik penginapan yang mempromosikan tempat masing-masing. Saya memilih menginap di Ulaanbaatar Guesthouse dan menemui beberapa kenalan baru. Setelah berehat sebentar, kami bersiar-siar sekitar Ulaanbaatar. Cuaca sangat sejuk dan tiada bangunan pencakar langit. Terdapat banyak tokong Buddha.

Kawasannya agak kering dan bergunung-ganang. Terdapat ramai penyeluk saku di Ulaanbaatar. Seorang kanak-kanak cuba membuka beg galas kenalan baru saya tetapi disedari oleh rakan lain. Kanak-kanak itu berlari meninggalkan kami sebaik sahaja mengetahui tindakannya disedari.

Esoknya, kami mengikuti rombongan dua hari satu malam ke Terelj National Park - kawasan bergunung-ganang dengan bentuk batu-batan yang menarik. Kawasan ini menjadi tarikan pelancong kerana pengunjung dapat mengamalkan cara hidup masyarakat nomad Mongolia. Kawasan ini sangat tandus, tiada kehijauan. Mungkin kerana musim sejuk.

Di sini, kami dibenarkan menunggang kuda dan tinggal di dalam ger iaitu rumah masyarakat nomad Mongolia yang berbentuk bulat dan dindingnya dilapisi plastik dan kulit kambing. Kami membantu orang tempatan membelah kayu api untuk dibakar bagi mengelakkan kesejukan. Tiada bilik air sempurna di sini cuma satu bilik berdinding zink dan satu lubang digali pada kedalaman enam hingga lapan kaki.


Dari Ulaan Baatar menuju ke Moscow

Esok kami pulang ke Ulaanbaatar. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan, saya ke stesen kereta api untuk ke Moscow.

Kereta api ini agak berbeza dengan sebelumnya. Tiada restoran, yang ada hanya pemanas air tetapi keadaan kabin masih sama. Perjalanan dari Mongolia ke Moscow mengambil masa lebih kurang lima hari. 

Saya bertemu beberapa rakan baru, tiba-tiba seorang penumpang dari kabin lain datang dan menyuruh kami memeriksa kandungan bantal yang disediakan. Terdapat banyak pakaian disumbat dalam bantal. Kemudian, kami memeriksa sekitar kabin dan temui banyak barang lain. Kami diberitahu seorang warga tempatan, barang ini disorok bagi tujuan penyeludupan kerana harganya lebih mahal di Rusia.

Setelah berada beberapa jam di dalam kereta api, kami akhirnya melalui sempadan Mongolia dan Rusia pada waktu malam. Penumpang tidak perlu keluar dari kereta api, sebaliknya pegawai imigresen Rusia ke setiap kabin memeriksa pasport dan barangan yang kami bawa. Waktu ini kelihatan peniaga dari Mongolia bertempiaran menyorokkan barangan mereka. Mereka masuk ke setiap kabin termasuklah kabin kami.

Ada yang menggantung makanan di tingkap, pakaian di bawah cadar dan tempat lain agar tidak ditemui oleh pegawai imigresen. Kami dinasihatkan berpura-pura tidak melihat apa yang sedang berlaku. Beberapa peniaga tertangkap dan terpaksa membayar denda. Saya agak takut tetapi tertarik dengan telatah mereka. Setelah segala urusan imigresen selesai, kereta api dibenarkan meneruskan perjalanan. Kami lega!

Hari kedua di dalam kereta api ke Rusia lebih menarik. Kami tidak sabar melihat Tasik Baikal yang bermaksud “semulajadi". Tasik berusia 25 juta tahun ini adalah tertua dan terdalam di dunia serta dihuni lebih 1,700 spesies flora dan fauna dengan dua per tiga daripadanya tidak dapat ditemui di tempat lain. Banyak aktiviti dilakukan di sini termasuk memancing untuk pelancong. Agak malang kerana tasik ini beku sewaktu kereta api melewatinya.

Kereta api kami berhenti di kawasan berdekatan Tasik Baikal. Kami amat teruja melihat ramai warga tempatan berkumpul di situ. Peniaga dari Mongolia terus menjual barang yang dibawa kepada warga tempatan. Pelbagai ragam dapat dilihat. Ada yang turun menayang pakaian yang dibawa, ada menyangkutnya di tingkap. Terdapat beberapa orang polis Rusia cuba menghalau pembeli dan peniaga tetapi, setelah mereka pergi, urusan jual beli diteruskan. Ada juga yang membuat pertukaran barang. Seorang rakan kabin membeli ikan salai yang ditangkap dari Tasik Baikal. Rasanya sangat enak.


Hentian seterusnya adalah Irkutsk - salah satu pusat perindustrian di Rusia dan terdapat banyak tinggalan sejarah. Kedudukannya berdekatan dengan Tasik Baikal membuatkan ramai penumpang turun untuk menghabiskan masa beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan. Oleh kerana tidak ada banyak masa, saya mengambil keputusan terus ke Moscow tanpa berhenti di mana-mana bandar.

Di setiap hentian kereta api, terdapat gerai menjual makanan yang sangat unik, berbentuk bilik kecil berdindingkan gelas lutsinar. Makanan disusun di setiap penjuru dan pembeli hanya menunjukkan makanan yang hendak dibeli dan membuat bayaran. Kereta api mula melalui kawasan Siberia. Kawasan yang sangat unik ini adalah sembilan peratus daripada permukaan tanah di dunia dan merangkumi 77 peratus keluasan Rusia.

Hanya 25 peratus penduduk Rusia tinggal di sini. Siberia antara kawasan tersejuk di dunia pada musim sejuk dan terbahagi kepada beberapa kawasan yang mempunyai suhu, rupa bentuk muka bumi yang berbeza.

Oleh kerana kereta api menuju dari timur ke barat, jadi apa yang dilihat sepanjang perjalanan adalah kawasan yang hampir serupa. Kawasan rata seperti tanah gambut yang lembap dan kadang kala terdapat beberapa rumah terletak sangat jauh antara satu sama lain. Kadang kala saya terfikir, bagaimana penghuni di situ mendapatkan bekalan makanan dan apa yang mereka lakukan sebagai aktiviti harian.

Pada hari keempat, kereta api melalui kawasan Ekaterinburg - ditemui oleh "Peter The Great" mempunyai banyak tinggalan sejarah zaman Tsar dan Soviet. Apa yang menjadi tarikan utama saya di sini adalah Gunung Ural - gunung yang memisahkan benua Eropah dan benua Asia.

Hari kelima iaitu hari terakhir pengembaraan Trans Mongolian, saya tiba di Moscow pada pukul 3 petang. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan, saya ke hostel. Amat sukar untuk ke sana kerana semua papan tanda di dalam bahasa Rusia dan kebanyakan warga Moscow tidak boleh berbahasa Inggeris.


Moscow

Pelbagai cara dilakukan termasuk menunjukkan alamat hostel, menggunakan bahasa isyarat, usaha ini berbaloi, akhirnya saya sampai ke tempat yang dituju. Setelah berehat sebentar, saya keluar berjalan di sekitar Moscow. Saya bernasib baik kerana bertemu dengan warga tempatan yang sangat baik hati.

Bermula dengan bertanyakan arah ke St. Basil Cathedral iaitu gereja orthodoks Rusia yang sangat popular dengan sejarah, reka bentuk dan warna, saya menjadi rakan kepada Erik dan Alina. Kami menghabiskan masa di sekitar bandar Moscow. Mereka sangat informatif dan menerangkan sejarah bangunan, memperkenalkan makanan tradisi Rusia dan menjawab segala soalan.

Pengalaman berharga bersama Erik dan Alina apabila mereka membawa saya ke Memorial Museum of Astronautics. Di sana saya berpeluang melihat sendiri Belka, anjing iaitu haiwan pertama yang berjaya ke angkasa lepas. Belka diawet dan menjadi tatapan umum. Saya juga sempat bertemu seorang angkasawan yang kebetulan menerima tetamu pada hari tersebut.

Pengembaraan Trans Mongolian menyimpan seribu satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan.



6 comments:

  1. insya allah... moga2 ada rezeki untuk mencuba keretapi tans siberia mongolia nie.. Mungkin lagi 4 tahun.. Saya obses dengan keretapi sejak travel2 ke thailand baru-baru nie...

    ReplyDelete
    Replies
    1. jeri

      Saya ingat dua tahun perancangan saya untuk kembali mengalas backpack terlalu lama, rupanya ada insan lain yang merancang lebih lama dari saya. Doa saya moga rezeki jeri bertambah dan impian terlaksana, insyaallah.

      Delete
  2. Saya juga suka mengembara menaiki keretapi di China, tetapi belum lagi menggunakan Trans Siberian. Mendengarkan banyak kisah menarik menaiki keretapi ini, saya juga terasa ingin menurut jejak langkah mereka.

    Setakat ini saya telah mengembara menaiki keretapi dari pelbagai kelas/jenis, antaranya: Beijing ke Xian, Xian ke Beijing, Beijing ke Inner Mongolia, Inner Mongolia ke Beijing, Beijing ke Tianjin, Tianjin ke Beijing, Beijing ke Jinan, Jinan ke Beijing, Beijing ke Haerbin, Haerbin ke Beijing, Beijing ke Shanghai, Shanghai ke Beijing. Nampaknya ada lagi perjalanan keretapi menarik yang belum saya tempuhi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Naramas Aman

      Alhamdulillah memang seronok menaiki keretapi di China, betul satu hari nanti Naramas kena cuba Trans Siberian...terus terang kalau diberi peluang ada rezeki saya pun ingin mengulangai perjalanan menaiki Trans Siberian ini....

      Delete
  3. Saya sgt berminat dengan cerita Trans Siberian ini. Pernah dengar sebelum ni, tapi takda buat research sgt berkaitan perkara ini..Tp bila baca blog Tuan, saya rasa makin terpanggil..Selama ini travel menggunakan flight, if guna train pun utk jarak yg tidak smpai 1hari..Tak dapat bayangkan perjalanan selama 5 hari di atas train!Wah sememangnya menarik dan mencabar.. Saya mula berangan2 utk melakukan trip ini... Cuma tak pasti bila lagi. Mungkin 2 tahun lagi? InsyaAllah. Terima kasih atas info yang diberikan. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. DJ

      Terus terang saya katakan pengalaman menaiki train ke Moscow memang menyeronokkan, insyaallah saya doakan DJ akan dapat melaksanakan impian menaiki Trans Siberian ini suatu hari nanti...insyaallah..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...