Tuesday, 18 June 2013

MENGAPAI KALAPATTAR DINEPAL - LOE @ LONE RANGER

Pengalaman orang lain, tapi saya share dalam blog ini, pendakian yang ingin saya lakukan suatu hari nanti insyaallah....;


21 Okt 2009 (Hari Pertama)

Pada jam 5 pagi, aku bersama-sama keluargaku bergerak dari rumah abangku yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam menuju ke KLIA dengan 2 buah kereta. Perjalanan pagi ini begitu sunyi dan pilu tapi udara cukup dingin bagaikan membawa maksud kepadaku untuk bersedia menghadapi cuaca yang lebih dingin di Nepal.

Jam menujukkan hampir pukul 6 pagi dan kami semua sudah tiba di KLIA. Kelihatan beberapa pendaki telah pun sampai terlebih dahulu dan sedang sibuk mengeluarkan barang-barang keperluan dan makanan dari bilik gerakan yang disediakan di Airport untuk dihantar ke bahagian ‘check-in’. Tuan Maarif selaku pengarah projek amat sibuk sekali memastikan segala keperluan mencukupi dan tidak ada yang tertinggal.

Selepas semua beg-beg pendaki dan peralatan dibalut kemas, kami pun bergerak menuju ke bahagian ‘check-in’ pada jam 6.30 pagi. Selepas ‘check in’ selesai kami bergerak menuju ke bilik VVIP di aras bawah untuk menikmati sarapan pagi dan majlis pelepasan serta doa selamat. Majlis itu disempurnakan oleh pegawai kanan dari Malaysia Airport sendiri.

Selepas sessi bergambar, semua pendaki bersama keluarga masing-masing bergegas menaiki tren menuju ke terminal berlepas antarabangsa kerana telah terlewat. Kedengaran nama kumpulan kami diumumkan berkali-kali oleh suara merdu operator yang bertugas agar segera menaiki pesawat.

Selesai bersalaman dengan ahli keluarga, aku terus berjalan masuk menuju ke perut pesawat Thai Airways dan disambut oleh jelitawan-jelitawan dari negara ‘gajah putih’ itu dengan senyuman yang manis. Kesedihan berpisah dengan keluarga sebentar tadi agak terubat dengan senyuman yang dilemparkan oleh pramugari itu walaupun senyuman itu hanyalah lakonan semata-mata.

Jam menunjukkan pukul 7.50 pagi, pesawat Airbus itu mula bergerak dan terus berlepas ke ruang angkasa dengan megahnya meninggalkan tanahair tercinta. Walaupun kesedihan masih terasa, tapi semua itu dapat kami lawan dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mendaki hingga ke puncak kalapattar setinggi 5545 meter itu.

Penerbangan kami mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit menuju ke lapangan terbang Svharnabumi, Bangkok. Kami terpaksa transit ke sana lebih 4 jam kerana perlu menukar pesawat untuk ke Kathmandu. Ada antara kami yang mengambil kesempatan berehat serta hanya berjalan-jalan di sekitar terminal dan ada juga yang keluar untuk ke bandar membeli keperluan sampingan.

Lapangan terbang ini amat cantik dan masih baru. Banyak kemudahan yang disediakan amat memuaskan hati. Jadi tidak hairanlah lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang yang terbaik di Thailand.

Semasa dalam penerbangan dari Bangkok ke Kathmandu, tiba-tiba kami dikejutkan dari tidur oleh suara kapten dari dalam kokpit pesawat yang memaklumkan bahawa penumpang dapat menyaksikan puncak gunung everest di sebelah kanan pesawat. Subhanallah, terlalu indah untuk digambarkan apabila pertama kali melihat puncak tertinggi dunia di Banjaran Himalaya itu dengan mata sendiri. Semangatku dan rakan-rakan semakin berkobar-kobar. Denyutan nadi semakin kencang sambil senyuman tiba-tiba terukir dengan sendirinya akibat terlalu gembira dan terharu kerana impian yang disemai selama 12 tahun ini hampir tercapai.

Dalam senyuman yang terukir itu, tiba-tiba pipiku terasa basah oleh airmata yang bertakung sekian lama di kelopak mata. Airmata kegembiraan itu tidak dapat dibendung lagi. Gembira bercampur takjub dengan keindahan dan kekuasaan Ilahi. Aku segera menyapu dengan tisu panas yang disediakan oleh syarikat penerbangan itu untuk penumpang mengelap muka.

Kami akhirnya sampai di lapangan terbang Tribhuvan, Kathmandu pada jam 6.00 petang waktu tempatan. Wakut di sini agak lewat lebih 2 jam dari Malaysia. Pada waktu itu, hari dah semakin gelap. Kami disambut oleh Mr. Furi yang merupakan pegawai dari syarikat agensi pelancongan yang akan menguruskan pendakian kami dengan senyuman di luar lapangan terbang itu bersama-sama 2 buah van yang sudah sedia menunggu kami untuk dibawa ke hotel penginapan.

Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Nepal, kami agak terkejut dengan keadaan sekeliling disini. Boleh dikatakan mereka masih ketinggalan 20 ke 30 tahun dari segi pembangunan. Pengurusan di lapangan terbang juga agak kelam kabut. Di kawasan luar pula ramai ulat-ulat sedang menunggu mangsa untuk dijerat.

Bandar Kathmandu amat berdebu dan sesak dengan kenderaan yang sentiasa membunyikan hon. Hiruk pikuk keadaan sekeliling membuatkan kami semua agak kekok. Mr. Furi hanya tersenyum melihat telatah kami sambil berkata “Welcome to Kathmandu..” kami hanya diam sambil cuba memahami maksud tersirat Mr. Furi itu.

Sampai sahaja di hotel Tashi Dhele, tempat dimana kami akan menginap untuk beberapa hari sebelum memulakan pendakian, kami telah disambut oleh tuan punya hotel dengan senyuman yang lebar. Mungkin gembira kerana perniagaannya menambahkan hasil dengan kedatangan kami.  Kami ditempatkan 2 orang satu bilik dan aku berkongsi bilik dengan En. Azrul atau lebih mesra dengan panggilan Bon seorang pegawai dari Majlis Sukan Negara (MSN).  Bon juga merupakan pemudahcara untuk segala urusan kami sepanjang di Nepal dari segi permit, pengurusan, pendakian,  sherpa, agensi pelancongan dan sebagainya. Beliau cukup berpengalaman dari segi selok belok di sini kerana ini merupakan kali ke 5 beliau membawa pendaki dari Malaysia sejak dari tahun 2004.

Hotel kami terletak dalam kawasan Pekan Thamel, iaitu satu tempat yang merupakan syurga kepada pendaki-pendaki dari seluruh dunia untuk membeli-belah barang-barang pendakian yang berjenama terkemuka seperti The North Face, Mammut, Salomon, Millet, Black Diamond, Petzl, Deuter, Asollo dan lain-lain lagi yang sukar didapati di Malaysia disamping hanrganya yang mahal.


22 Okt 2009 (Hari Kedua)

Pagi ini pada jam 7 pagi semua pendaki telah bersedia di atas bumbung hotel untuk acara rasmi harian kami iaitu “baris pagi” yang diketuai oleh Tuan Maarif. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Barisan Kita dan doa secara bergilir-gilir oleh aku dan Asuadi setiap hari. Kemudian kami akan bersarapan beramai-ramai di ‘coffee house’ hotel tersebut. Untuk memastikan kami mendapatkan makanan halal, kami hanya memesan nasi putih dan telur dadar dan dimakan bersama sambal tumis ikan bilis yang dibawa dari Malaysia.

Selepas sarapan, kami diberi taklimat semasa oleh Bon untuk memudahkan pergerakan. Setiap pagi dan malam kami juga dikehendaki mengambil catatan ‘Blood Pressure’ (BP) untuk direkodkan sebagai laporan kesihatan harian pendaki. Kami dinasihatkan supaya dapat mengawal dan mengekalkan ‘BP’ ke paras yang terendah agar cepat untuk ‘recovery’ sewaktu pendakian sebenar nanti.

Selepas taklimat, semua pendaki dibebaskan untuk melawat sekitar kawasan Thamel untuk membeli-belah.  Hari ini ramai diantara kami  yang masih belum membeli apa-apa kerana semua mengambil peluang untuk meninjau dahulu harga yang lebih murah di setiap kedai. Secara keseluruhannya, peralatan pendakian di sini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di Malaysia. Aku bersama-sama beberapa pendaki lain sempat juga menukar duit Nepal untuk digunakan sepanjang berada di sana. Nilai seringgit di Malaysia adalah bersamaan 21.35 rupees.

Sewaktu makan tengah hari kami berjumpa semula di Restoran Anatolia iaitu satu-satunya restoran halal yang terdapat di Pekan Thamel. Harga makanan disini juga agak mahal. Bayangkan harga sepinggan nasi putih berharga 50 rupees dan air Teh ‘o’ ataupun ‘black tea’ berharga 40 rupees secawan.

Aku hanya memesan nasi beriani kambing yang berharga 285 rupees. Menu istimewa yang terdapat di restoran tersebut ialah ‘Chicken Thandoori Full’ yang berharga hampir 300 rupees.  Keadaan sekeliling di dalam restoran tersebut sangat memuaskan dan bersih. Sambil menikmati jamuan yang begitu enak, kami turut dihiburkan dengan lagu-lagu Hindi dan lagu tradisi negara Nepal yang membelai jiwa.

Selepas makan, aku dan beberapa rakan pendaki lagi menyambung perjalanan untuk meninjau serta mencari keperluan pendakian yang lebih murah hampir di setiap kedai. Kami pulang ke hotel apabila hari makin gelap. Sewaktu tiba di hotel, barulah kami terasa akan kepenatan setelah seharian berjalan di sekitar pekan Thamel.

Apabila malam menjelma, kami berkumpul semula untuk makan malam pada jam 7 malam. Selepas makan, aktiviti biasa dijalankan seperti taklimat semasa oleh Bon dan memeriksa rekod kesihatan masing-masing. Kami juga membincangkan serta membahagikan tugas kepada pendaki-pendaki seperti logistik, teknikal, komunikasi, ‘Rolex Master’, rescue dan medic serta membincangkan mengenai ‘movement strategy’. Perbincangan itu berlangsung kira-kira hampir sejam lamanya.

Selepas segalanya selesai aku, Firdaus, Azmi, Zul dan Tuan Malek keluar lagi ke pekan Thamel untuk melihat suasana diwaktu malam hari. Keadaan diwaktu malam agak kurang sesak dibandingkan dengan siang hari. Tapi bagaikan berganti shift, apabila malam menjelma kemeriahan kelab-kelab malam dan bar-bar pula yang mengambil alih menggantikan kedai-kedai peralatan mendaki dan cenderamata di waktu siang.


23 Okt 2009 (Hari Ketiga)

Hari ini selepas ‘baris pagi’ dan aktiviti rutin harian, semua pendaki telah bersiap sedia untuk keluar membeli belah setelah kedai yang lebih murah telah dipastikan pada hari sebelumnya. Selepas bersarapan telur goreng, roti bakar dan hot chocolate, kami juga diarahkan untuk mengisi borang untuk dihantar ke pejabat kedutaan. Kemudian kami semua berkumpul di hadapan hotel untuk memeriksa dan mengemaskini makanan yang dibawa dari Malaysia untuk digunakan semasa pendakian nanti seperti sambal tumis ikan bilis, mee segera, ikan terubuk masin, rendang pucuk ubi, ikan pekasam, petai jeruk dan lain-lain lagi. Makanan ini amat penting untuk dibawa kerana difahamkan ianya akan bertindak sebagai penambah selera kepada pendaki kerana sesetengah pendaki akan mula hilang selera makan akibat perubahan altitud dan cuaca sepanjang pendakian nanti.

Selepas segalanya selesai, pada jam 10 pagi kami dibawa untuk berjumpa dengan duta Malaysia di Nepal di pejabat kedutaan. Segala pengangkutan ke sana telah pun disediakan oleh Mr. Furi. Ternyata Mr. Furi amat professional dan bertanggungjawab dari segi perkhidmatannya kepada kami.

Sampai saja di pejabat kedutaan, kami disambut mesra oleh Duta Malaysia iaitu Datuk Ilankaran Kolandarelu dan kakitangannya. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam pejabat kedutaan dan melihat kepada suasana susunan pejabat serta kakitangan disana, terasa seolah-olah kami telah kembali ke Malaysia. Aku sempat menjeling kearah dinding pejabat tersebut. Kelihatan gambar-gambar pendaki-pendaki Malaysia yang terlibat dalam ekspedisi-ekspedisi sebelum ini telah dibingkaikan dan tersusun indah di satu sudut di dalam pejabat tersebut. Ini semakin menaikkan lagi semangatku untuk mendaki Gunung Kalapattar dan Everest Base Camp pada 25 haribulan nanti.

Selepas sessi bergambar, kami meneruskan perjalanan kembali ke pekan Thamel dengan menaiki dua buah van. Perjalanan mengambil masa lebih kurang setengah jam kerana kesesakan jalanraya dan kesibukan penduduk sekitar Kathmandu.

Apabila sampai sahaja di pekan Thamel, semua pendaki membawa haluan masing-masing mencari keperluan dan pakaian untuk mendaki. Semua lorong-lorong dan kedai-kedai habis dijelajahi oleh kami. Walaupun kepenatan seharian berjalan, namun semua itu tidak dihiraukan oleh kami kerana begitu teruja melihat kedai-kedai dan barang-barang yang begitu banyak terdapat di pekan tersebut. Aku juga tidak melepaskan peluang membeli barang-barang keperluan dan pakaian  untuk mendaki. Hari ni sempat juga aku mencari kemudahan internet untuk menghantar email perkembanganku dan rakan-rakan disini kepada Tuan Sani dan menghubungi keluarga di kampung.

Apabila malam kembali menjelma, kami semua kembali berkumpul untuk makan malam dan aktiviti harian. Seperti biasa, dimulai dengan taklimat semasa oleh Tuan Maarif dan Bon serta pemeriksaan kesihatan. Setelah segalanya selesai, aku dan beberapa pendaki lain keluar lagi ke pekan Thamel, untuk menghilangkan rasa bosan berada dihotel. Ada juga diantara kami yang hanya balik ke bilik untuk berehat dan tidur.

           
24 Okt 2009 (Hari Keempat)

Hari ini merupakan hari terakhir untuk kami membeli kelengkapan mendaki. Semua peserta masing-masing sibuk untuk melengkapkan pakaian dan peralatan persendirian. Aku dan firdaus meninjau di sekitar pekan Thamel untuk mencari farmasi bagi membeli ubat untuk kumpulan kami. Kami telah membeli 20 botol ubat batuk (khumbu cought) dan beberapa paket pil ‘Diamox’. Sejenis pil yang digunakan untuk mengatasi penyakit altitud. Setiap pendaki juga diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya satu paket diamox sebagai ubat peribadi.


PENDAKIAN BERMULA

25 Okt 2009 (Hari Kelima)

Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Semua peserta telah bersiap sedia untuk ke lapangan terbang. Setelah bersarapan, kami memeriksa semua beg dan peralatan yang akan dibawa dan terus dimasukkan ke dalam van. Kami dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Kathmandu menuju ke Lukla pada jam 8.15 pagi dengan menaiki pesawat Twin Otter 9n-AET. Keadaan di lapangan terbang Kathmandu pada ketika itu agak kelam kabut dengan ‘ulat-ulat’ yang ingin mengambil upah membawa beg-beg kami. Kelihatan juga ramai pendaki-pendaki dari negara-negara lain begitu sibuk menguruskan pendaftaran masing-masing di kaunter. Keadaan begitu meriah sekali bagaikan pesta.

Pesawat yang hanya mampu memuatkan 18 orang penumpang itu kelihatan agak uzur. 2 orang daripada kami terpaksa menaiki pesawat yang berasingan. Melihat kepada keadaan fizikal pesawat tersebut, membuatkan ada diantara kami agak ragu-ragu. Masing-masing dahi berkerut. Mungkin bimbang dan kurang yakin. Aku hanya menyaksikan sahaja gelagat rakan-rakan dan tersenyum. Bagiku, kepercayaan dan keyakinan itu amat penting dalam setiap perkara. Aku hanya mampu berdoa agar penerbangan kami selamat menuju ke destinasi.

Pesawat tersebut terbang dengan ketinggian 11000 kaki di udara. Aku mengambil kesempatan mengambil beberapa keping gambar pemandangan yang begitu cantik dan mempersonakan.  Kelihatan banjaran Himalaya tersergam begitu indah dan memutih bagaikan menggamit kedatangan kami. Dari jauh dapat aku saksikan puncak Gunung Everest berdiri dengan begitu megah menunggu pelawatnya ataupun sebagai mangsanya.

Setelah hampir setengah jam penerbangan kami dapat melihat lapangan terbang Lukla yang agak kecil ukurannya. Salah seorang daripada kami menangis ketakutan kerana bimbang melihat keadaan landasan disana yang terlalu pendek dan berada di tepi gaung yang sangat tinggi. Landasannya lebih kurang hanya 100 meter panjang.

Selepas selamat mendarat di lapangan terbang Lukla pada jam 8.45 pagi, dengan ketinggian 9120 kaki, kami disambut oleh Lead Sherpa, sherpa-sherpa, porter, cookman dan yakman. Sherpa yang akan mengetuai kami ialah Lhakpa Sherpa dan kami diperkenalkan dengan sherpa-sherpa yang lain.

Kami juga difahamkan seramai 5 orang sherpa akan bersama-sama kami sepanjang pendakian disamping 4 orang porter, seorang cookman, 3 orang yakman dan 11 ekor yak untuk membawa peralatan kami.  Selepas sessi berkenalan, kami dihidangkan dengan ‘black tea’  oleh Sherpa di dalam Budha Lodge untuk menghilangkan haus sepanjang penerbangan.

Sewaktu sedang sibuk memeriksa dan memindahkan barang, kami semua dikejutkan dengan kehilangan beg Bon sewaktu dalam penerbangan. Sah, beg tersebut telah terlepas pandang oleh petugas di lapangan terbang. Bon segera menghubungi Mr. Furi untuk memaklumkan kejadian tersebut. Beliau berjanji akan segera mengatasi masalah itu dan meminta Bon agar bersabar.

Setelah semuanya bersedia, kami memulakan pendakian dimulai dengan menyanyikan lagu Negaraku dan bacaan doa kemudiaan diikuti dengan senaman ringan yang diketuai oleh Suadi. Pada jam 9.50 pagi, kami memulakan pendakian menuju ke Phakding. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat kampung orang-orang gunung di kiri dan kanan trek. Penduduk disitu amat ramah sekali. Terdapat juga kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan di sepanjang perjalanan. Penduduk- penduduk di situ kelihatan agak sibuk dengan urusan masing-masing. Keadaan trek agak sesak dengan yak dan pendaki-pendaki yang sedang dalam perjalanan naik dan turun. Pada jam 11.20 pagi kami berhenti untuk berehat sebentar menghilangkan penat. Ketinggian pada ketika ini menurun pada paras 8660 kaki.

Jam 1.00 tengah hari kami berhenti untuk makan tengah hari di salah sebuah Lodge yang terdapat di situ. Kami dihidangkan dengan mee segera, sandwich, sardin dan sayur. Semua pendaki makan dengan begitu berselera sekali kerana kepenatan.

Setelah sejam berhenti rehat, kami menyambung kembali perjalanan dan akhirnya sampai di Phakding pada jam 4 petang. Sepanjang perjalanan Angah telah menunjukkan simptom Acute Mauntain Sickness (AMS) kerana beliau telah mengalami cirit-birit. Ini amat merisaukan kami semua kerana bimbang selepas ini makin ramai pula akan mengalami nasib yang sama.

Sampai sahaja di Phakding, aku melihat beberapa orang Sherpa sedang memasang khemah dan porter pula sedang sibuk membantu cookman Mr. Gopal menyediakan minum petang dan makan malam. Tidak lama selepas itu kami semua dihidangkan dengan air ‘black tea’ dan biskut untuk mengisi perut dan memanaskan badan sambil menunggu untuk jamuan makan malam. Bon masih lagi bimbang kerana begnya masih tidak kelihatan. Beliau amat risau karana banyak barang berharga seperti kamera video dan pakaian sejuk berada di dalam beg tersebut. Aku yang berkongsi khemah dengannya segera memunggah begku dan memberi beberapa pakaian dan stoking untuk beliau gunakan bagi berlindung dari kesejukan malam yang sudah semakin hampir. Ada juga beberapa pendaki lain yang turut memberi bantuan pakaian lain. Bagi aku, inilah semangat kerjasama dan setiakawan yang lahir secara semula jadi di arena pergunungan walaupun kami masih baru berkenalan.

Jam telah menunjukkan pukul 4.55 petang. Hari semakin gelap. Aku hanya berehat didalam khemah sambil mengemas pakaian dan peralatan yang berselerak. Selepas semuanya dikemas, aku mengambil tisu basah untuk mencuci badan dan menyalin pakaian tidur di waktu malam. Kami juga diingatkan supaya tidak tidur sebelum pukul 8 malam kerana akan mengakibatkan sakit kepala dan bimbang akan mengalami imsomnia. Ini boleh menyebakan pendaki akan keletihan kerana kurang tidur dan menjejaskan pendakian.

Pada jam 6.30 petang, kami semua berkumpul di dalam Lodge untuk makan malam. Ternyata, Sherpa dan porter disini amat menepati masa. Mereka telah menunggu kami sejak awal lagi dengan hidangan. Pada malam itu kami dihidangkan dengan nasi, kari ayam, sup cendawan dan sayur serta air ‘black tea’ dan ‘hot chocolate’. Kemudian kami juga dihidangkan dengan popcorn sebagai pencuci mulut.

Setelah menikmati makan malam, seperti biasa kami mengambil pemeriksaan kesihatan untuk direkodkan dan diikuti dengan taklimat oleh Bon. Angah masih lagi mengalami cirit-birit manakala Mazrul juga menunjukkan tanda-tanda AMS seperti demam dan sakit kepala.

Sebelum kami beredar untuk ke khemah masing-masing, seorang dari jurukamera kami, Mr. Shri yang diimport dari India memaklumkan dirinya tidak mampu lagi untuk meneruskan cabaran ini. Beliau memohon maaf kepada kami dan berhasrat menarik diri pada esok hari untuk terus pulang ke Lukla bagi mendapatkan penerbangan ke Kathmandu dan pulang ke India. Kami menerima sahaja keputusannya dengan tenang. Kini kami hanya tinggal 19 orang untuk meneruskan misi ke puncak Kalapattar.

Pada malam itu kami tidur dengan kesejukan yang amat mencengkam hingga ke tulang. Aku terjaga pada jam 2 pagi dan sempat melihat pada jam tangan Casio Pro Trek kesayanganku untuk melihat suhu pada ketika itu. Suhu telah menunjukkan 7oc pada waktu itu. Aku segera menambah lagi pakaian di badan dan terus menyambung tidur. Kedengaran rakan-rakan di khemah bersebelahan batuk-batuk dan aku amat yakin mereka juga mengalami kesukaran untuk tidur sepertiku.

Namche Bazar

26 Okt 2009 (Hari Keenam)

Pada jam 6.30 pagi kami telah dikejutkan oleh Sherpa yang mengetuk-ngetuk pintu khemah. “Good Morning Sir, black tea.. black tea Sir…” Aku segera membuka pintu khemah dan menyambut air teh panas yang telah disediakan. Setelah minum untuk memanaskan badan, aku segera mengemas peralatan dan menukar pakaian untuk menyambung perjalanan pada hari itu. 

Sarapan pagi telah disediakan pada jam 7 pagi dan seperti biasa kami memeriksa rekod kesihatan masing-masing. Setelah diberi taklimat ringkas perjalanan oleh Bon dan ‘baris pagi’ harian yang diketuai oleh Tuan Maarif, kami menyambung perjalanan  pada jam 8 pagi. Beg pakaian bon telah selamat sampai sebelum kami memulakan perjalanan. Bon amat gembira dan berterima kasih kepada salah seorang Sherpa yang sanggup turun semula ke Lukla untuk mengambil begnya yang telah diuruskan oleh Mr. Furi.

Perjalanan hari ini ialah menuju ke Namche Bazar atau lebih dikenali dengan ‘pekan koboi’ di kalangan pendaki. Aku telah diarahkan mengetuai perjalanan pada hari ini dengan berada di barisan paling hadapan bersama-sama Firdaus.

Sepanjang perjalanan pada hari ini kami masih menyusuri sungai yang amat deras. Air sungai itu sangat cantik dan berwarna kebiru-biruan. Sungai tersebut mengalir dari glasier puncak-puncak gunung di banjaran Himalaya. Kami juga dapat melihat beberapa kampung-kampung kecil dan melintasi beberapa jambatan gantung yang sangat tinggi.

Setelah 4 jam berjalan dengan keadaan trek yang semakin mencanak dan meredah beberapa gunung, kami berhenti rehat di Sherpa Lodge untuk makan tengah hari. Sebaik sahaja sampai di lodge, porter telah bersedia menunggu kami dengan air limau panas. Ketinggian pada ketika itu ialah 8980 kaki, kelihatan semua pendaki amat letih dengan perjalanan dan kandungan oksigen yang semakin menipis.

Sejam kemudian kami meneruskan perjalanan untuk ke Namche Bazar. Trek semakin mencanak, dan pergerakan semua pendaki semakin perlahan terutama Puan Robaiyah. Ada juga beberapa pendaki yang cuba mengusik beliau untuk menaikkan semangat tapi ternyata usikan itu langsung tidak mampu untuk membuatkan dirinya tersenyum.

Akhirnya kami berjaya juga sampai di Namche Bazar pada jam 4 petang manakala Puan Robaiyah merupakan pendaki akhir yang sampai pada jam 5.30 petang. Keadaan di pekan ini agak meriah dengan pendaki-pendaki lain berbanding dengan pekan Phakding. Penduduk tempatan disini juga agak ramai. Pekan ini juga merupakan pekan tumpuan kepada semua pendaki untuk berehat dan melakukan penyesuaian ketinggian ataupun ‘aclimitize’. Terdapat banyak Lodge, restoran, kemudahan awam seperti internet, telefon, bar, hot shower dan lain-lain lagi disini untuk digunakan oleh pendaki-pendaki. Selain dari itu, terdapat juga kedai-kedai cenderamata, pakaian, peralatan yang boleh dibeli oleh pendaki dengan harga yang agak mahal bergantung kepada sejauh mana kita mampu menawar dengan peniaga disana.

Aktiviti malam berjalan seperti biasa. Ramai diantara kami yang semakin kurang sihat. Aku sendiri masih mengalami selsema dan batuk yang semakin melarat. Pada malam itu seorang lagi jurukamera video kami iaitu Mr. Ashok mengalami sakit kepala yang teramat sangat. Beliau juga tidak mampu banyak bercakap dan terpaksa menarik diri dari meneruskan cabaran dan akan turun semula ke Phakding pada keesokkan hari . Ini bermakna semakin kurang bilangan kami yang tinggal kerana Tuan Malek sememangnya akan berada di Pekan Namche Bazar sehingga kami turun semula nanti kerana beliau akan bertindak mengawasi peralatan komunikasi yang akan kami tempatkan di Lodge disitu.


27 Okt 2009 (Hari Ketujuh)

Hari ini kami tidak akan menyambung perjalanan. Kami semua hanya akan melakukan ‘aclimitize’  setinggi 400 kaki ke Army Base Camp dan Boldah (Everest View) . Pendakian ke sini mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk naik dan turun. Disini kami dapat melihat puncak gunung Everest dan gunung-gunung lain dengan jelas. Saya mengambil kesempatan merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan bersama rakan-rakan yang lain.

Selepas menikmati jamuan tengah hari seperti nasi, sambal ikan bilis, ikan terubuk masin, dan spaghetti, ada antara kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar pekan Namche Bazar. Aku sempat juga menghantar email dan laporan terkini kepada Tuan Sani di Malaysia dengan bayaran 100 rupees untuk sejam. Ada juga diantara kami yang menggunakan perkhidmatan ‘hot shower’ dengan bayaran 300 rupees di Lodge yang berhampiran dengan kawasan perkhemahan kami bagi menyegarkan badan yang sudah mula melekit.


28 Okt 2009 (Hari Kelapan)

Aktiviti pagi ini berjalan seperti biasa. Kami meneruskan misi untuk ke Deboche dengan kekuatan anggota seramai 17 orang pendaki. Suhu pada pagi ini amat sejuk sehingga mencecah 5oc. Kami melalui jalan yang berliku dan mencanak melalui Phuke Tengga untuk sampai ke kawasan Tengboche yang sangat luas dan mempunyai beberapa Lodge. Kemudian kami terpaksa menuruni bukit selama setengah jam untuk sampai di Deboche.

Sewaktu dalam perjalanan, aku telah berkenalan dengan seorang pendaki dari Indonesia yang bernama Fadhli. Beliau merupakan seorang jurugambar bebas dinegaranya. Hampir sepanjang perjalanan kami berbual tentang pendakian. Beliau juga merupakan seorang jurupandu arah ataupun guide di negaranya dan beliau berjanji akan mengatur perjalananku untuk mendaki gunung-gunung di Indonesia nanti. Kami juga merancang untuk bersama-sama mendaki gunung K2 di masa akan datang.

Semakin hampir dengan Deboche, aku dapat rasakan cuaca semakin sejuk sehingga ke paras 1oc lantas mengambil baju tebal dan sarung tangan dari dalam beg untuk dipakai dan terus menyambung perjalanan ke destinasi. Aku dan Zul yang bertindak menjadi sweeper membawa Puan Robaiyah yang berada di belakang sekali akhirnya berjaya sampai pada jam 6 petang. Ketinggian pada ketika itu ialah 12400 kaki.

Pada waktu malam ramai diantara pendaki yang kehilangan selera untuk makan dan hanya mampu makan mee segera bagi mengisi perut. Selepas kami menikmati hidangan makan malam, aku dan beberapa pendaki lain mengisi masa lapang dengan bermain permainan-permainan gunung untuk menghiburkan hati sementara menunggu waktu untuk tidur.

Sebelum tidur, seperti biasa Sherpa akan menyediakan kami air panas ataupun dipanggil ‘tatapani’ dalam bahasa Nepal sebanyak 2 botol seorang untuk dibawa semasa tidur. Botol tersebut digunakan sebagai pemeluk untuk kami memanaskan badan sewaktu tidur.

Pada jam 1 pagi sewaktu aku terjaga dari tidur, aku dapati suhu pada ketika itu menunjukkan -7oc. Air minuman didalam botol telahpun beku dan menjadi ais. Aku sempat melihat sekitar dalam khemah, dan aku dapati bumbung khemah telah diselaputi oleh ais-ais yang memutih. Satu pengalaman baru bagiku kerana merasai tidur bersama dengan ais.



29 Okt 2009 (Hari Kesembilan)

Hari ini kami akan menyambung perjalanan menuju ke Dingboche. Perjalanan hari ini amat perlahan dengan cuaca yang semakin sejuk dan oksigen yang semakin menipis. Kami terpaksa menaiki dan menuruni beberapa puncak gunung untuk sampai ke tempat yang dituju.

Pada jam 3 petang, Tuan Nazri, Mazrul, Farrah baru sahaja sampai di kawasan perkhemahan diikuti oleh aku dan Rohana. Ketinggian di Dingboche ialah 13720 kaki. Lebih tinggi dari Gunung Kinabalu. Seorang demi seorang pendaki akhirnya sampai. Ramai diantara pendaki yang mengadu mengalami sakit kepala dan muntah-muntah kepada Bon. Beliau memaklumkan itu juga merupakan symptom-simptom dari kesan penyakit AMS (Acute Mountain Sickness) dan mengarahkan kepada mereka yang sakit untuk mengambil pil Diamox bagi mengatasi masalah tersebut. Kelihatan juga Puan Robaiyah dan Wan amat tidak bermaya dan keletihan. Wan telah memaklumkan bahawa beliau telah mengalami kesakitan tulang belakang akibat dari kecederaan lamanya.

Pada waktu malam cuaca disini sangat sejuk ditambah pula dengan angin yang agak kuat. Pemandangan diwaktu malam memang cukup indah dan memukau pandangan sesiapa sahaja apabila puncak-puncak gunung yang bersalji di sekeliling kami berwarna putih kebiruan akibat dari pancaran cahaya bulan. Inilah kehebatan ciptaan tuhan. Terlalu sukar untuk digambarkan kecantikannya pada ketika itu. Aku tidak dapat berada lama di luar khemah untuk menikmati keindahan itu kerana terlalu sejuk dan perlu berada didalam khemah bagi mengelakkan dari simptom AMS semakin merebak.


30 Okt 2009 (Hari Ke Sepuluh)

Hari ini sekali lagi kami tidak menyambung pendakian. Tetapi kami perlu melakukan ‘aclimitize’  untuk menyambung pendakian pada esok hari bagi membiasakan badan dengan ketinggian. Seramai 11 orang sahaja dari kami yang mendaki pada hari ini kerana yang lainnya seperti Puan Robaiyah, Wan, Farrah, Rohana, Faridah dan Angah tidak mengizinkan dari segi kesihatan untuk mereka menyertai kami.

Kami mendaki sehingga ke paras 14400 kaki dan turun semula ke kawasan khemah. Perjalanan kami mengambil masa selama 4 jam untuk naik dan turun. Selepas makan tengah hari, kami hanya berehat sahaja di khemah masing-masing untuk melepaskan keletihan. Masing-masing mengadu semakin mengalami sakit kepala. Mungkin kerana perubahan altitud sewaktu melakukan aclimitize tadi. Bon menasihatkan kami berehat dan mengambil ubat untuk mengurangkan kesakitan.

Pada waktu malam selepas menikmati hidangan, kami diselubungi suasana sedih kerana Puan Robaiyah dan Wan tidak dapat  meneruskan misi dan cabaran kali ini atas aspek kesihatan dan keselamatan. Aku amat memahami perasaan mereka yang terpaksa menarik diri di saat-saat akhir pendakian. Setelah sekian lama berlatih bersama rakan-rakan dan pengorbanan masa dan wang ringgit yang telah dibelanjakan kini perjuangan mereka terpaksa dihentikan. Tidak dapat aku bayangkan jika perkara seumpama itu terjadi kepadaku lantas segera aku berdoa kepada Allah untuk memberi kekuatan dan kesihatan kepadaku dan rakan-rakan bagi meneruskan dan menjayakan impian yang telah sekian lama aku idamkan ini.


31 Okt 2009 (Hari Kesebelas)

Pagi ini suasana sekeliling agak muram dan pilu seolah-olah memahami akan perpisahan yang akan terjadi. Semua pendaki menitiskan airmata disaat bersalam-salaman dan berpelukan dengan Wan serta Puan Robaiyah. Tetapi inilah hakikat yang perlu diterima oleh setiap pendaki. Perpisahan yang tidak diduga dan tidak semestinya setiap pendakian itu akan berjaya ke kemuncaknya.

Sejak dari awal pendakian pada hari ini kami terpaksa meredah gunung yang memacak melalui jalan yang sama kami lalui sewaktu melakukan ‘aclimitize’ pada hari semalam. Kandungan oksigen yang semakin nipis di banjaran Himalaya itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kami untuk terus melangkah sehingga berjaya ke puncak. Pemandangan ketika itu hanyalah gunung-ganang yang kelihatan sayup mata memandang, salji-salji, batu-batu dan pendaki-pendaki dari negara-negara lain.

Kami menikmati hidangan tengah hari di salah sebuah Lodge di kawasan Toughla. Untuk sampai ke sini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana keadaan treknya semakin mencabar dan menggugat kesabaran. Sambil berjalan meredah trek, aku memerhatikan keadaan sekeliling dan bermuhasabah diri dengan kekuasaan tuhan. Tak terasa airmata yang telah sekian lama bertakung di kelopak mata, akhirnya jatuh juga menyembah bumi. Satu persatu wajah terlintas di pandanganku. Wajah lembut mak, abah, keluarga, rakan-rakan bermain-main diingatan. Entah kenapa pendakian pada hari ini aku rasakan begitu beremosi. Terasa begitu lemah dan longlai untukku meneruskan pendakian ini. Tidak seperti pendakian-pendakianku sebelum ini di gunung-gunung yang telah berjaya kutawan.

Mungkin ini juga merupakan dari simptom akibat dari AMS. Menurut kata-kata Bon tempohari, AMS juga boleh menggangu fikiran dan emosi kita. Aku cuba melawan dari terus lemah dengan gangguan psikologi ini. Harapan keluarga dan rakan-rakan tersayang untuk melihatku berdiri megah di puncak akanku tunaikan. Lantas, kata-kata semangat dan dorongan dari Tuan Sani sebelum ini segeraku imbas kembali. Ternyata, wajah-wajah orang yang kusayang serta amanat dan pesanan beliau begitu bermakna untukku. Aku kembali bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Lalu, langkah demi langkah diatur satu-persatu walaupun semakin perlahan dengan dibantu oleh 2 batang tongkat jenama Petzl  yang menjadi teman setiaku di sepanjang pendakian.

Akhirnya aku berjaya juga sampai di pekan Lobuche, pada jam 4 petang setelah 8 jam mendaki. Ketinggian pada ketika ini ialah 15720 kaki dan suhu pula menunjukkan 7.6oc. Badanku terasa terlalu penat akibat perjalanan yang jauh pada hari ini.

Apabila sampai sahaja di kawasan khemah, kelihatan Sherpa sedang sibuk memasang khemah untuk kami. Aku, Suadi, dan Zul berehat di satu kawasan sambil memerhatikan keindahan pemandangan sekeliling yang terdapat disitu. Aku berkongsi khemah bersama dengan Suadi.

Setelah menyalin pakaian, aku sempat berkenal-kenalan dengan 4 orang pendaki dari Italy. Mereka  akan mendaki ke puncak Gunung Kalapattar pada keesokkan hari. Tetapi mereka akan bergerak seawal jam 4.30 pagi untuk pergi dan balik semula ke Lobuche. Mereka merupakan satu keluarga dan amat ramah sekali denganku dan rakan-rakan. Kami sempat mengambil gambar dan bertukar-tukar pendapat mengenai dunia pendakian.

Tidak lama selepas itu, Fadhli datang kearahku untuk berborak. Fadhli merupakan seorang pendaki dari Indonesia yang bergerak secara solo untuk mendaki gunung Kalapattar bersama rakannya dari Hongkong. Menurutnya, mereka juga akan bergerak ke puncak Kalapattar pada awal pagi keesokkan hari tetapi tidak akan ke Everest Base Camp. Sebelum berpisah, kami sempat bertukar-tukar kad untuk memudahkan perhubungan kami kemudian hari.

Suhu di waktu malam hari disini amat ekstrem. Seorang dari kami iaitu Wan Hasni telah mengalami batuk-batuk yang kronik dan kehilangan suaranya. Bon telah memutuskan agar beliau hanya berehat dan tidak menyambung perjalanannya pada keesokkan hari. Bon memberi cadangan agar Wan Hasni menyampung perjalanan ke Gorak Shep pada 2 November nanti. Cadangan tersebut diterima oleh semua pendaki kerana aspek keselamatan dan kesihatan amat penting pada ketinggian yang melebihi paras bahaya ini atau lebih dikenali dengan ‘Dead Zone’.
  

1 Nov 2009 (Hari Kedua Belas)

Pendakian hari ini akan diteruskan ke ‘campsite’ yang terakhir iaitu di Gorak Shep. Bon memaklumkan perjalanan hari ini merupakan yang paling mencabar dan bahaya kerana akan melalui kawasan-kawasan berbatu, permatang, dan curam yang tinggi. Setelah aktiviti harian selesai, kami memulakan perjalanan menuju ke Gorak Shep pada jam 8 pagi.

Pergerakan pendakian pada hari ini terlalu perlahan. Aku hanya mampu melangkah sekitar 30 ke 40 langkah seminit walaupun keadaan trek yang agak mendatar. Langkahku semakin berkurangan sekiranya terpaksa mendaki dan berhenti untuk mengambil nafas serta menghilangkan penat.

Sewaktu dalam perjalanan, Rohana telah kehabisan tenaga akibat dari terlalu lapar dan terpaksa didukung oleh Sherpa sehingga ke Gorak Shep. Pada jam 3 petang, aku telah berjaya sampai di kawasan perkhemahan Gorak Shep yang merupakan kaki Gunung Kalapattar di sebelah kiri dan Gunung Everest di sebelah kanan. Disini juga terdapat kawasan lapang seluas satu padang bola sepak dan terdapat juga kawasan helipad berhampiran Lodge untuk helicopter mendarat mengambil pendaki yang memerlukan rawatan segera.

Pada waktu malam, kami semua berkumpul di dalam khemah makan untuk membuat perancangan terakhir pendakian ke puncak pada keesokkan hari. Semua pendaki juga dinasihatkan mengekalkan kesihatan di tahap semaksima mungkin kerana pendakian esok amat sejuk dan akan berhadapan dengan angin yang kuat. Semua pendaki tidur awal pada malam ini kerana terlalu penat setelah berhempas pulas selama beberapa hari untuk sampai ke tahap setinggi ini.


2 Nov 2009 (Hari Ketiga Belas)

Jam telah menunjukkan pukul 5 pagi. Aku telah terjaga dari tidur kerana terasa kesakitan yang teramat sangat di bahagian kepala. Sukar untuk diceritakan bagaimana kesakitan yang aku alami sehingga untuk membuka mata pun tidak termampu. Asuadi yang tidur bersebelahan denganku juga terjaga dari tidur dan turut membantuku. Setelah menelan pil Diamox, aku cuba untuk menyambung tidur tetapi tidak terlelap kerana menahan kesakitan yang bagaikan dihentak oleh batu yang besar sehinggalah hari mulai cerah.

Sewaktu sarapan pagi, aku sudah tidak mampu untuk menjamah walau sebutir nasi pun kerana hilang selera makan . Aku hanya mampu baring di dalam khemah makan sambil memegang kepala menahan kesakitan. Akhirnya Bon telah memutuskan supaya aku hanya berehat di khemah dan dikecualikan sebagai pendaki akhir untuk ke puncak pada hari ini. Berat untukku menerima keputusan tersebut. Inyaa bagaikan satu mimpi ngeri. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa kecewanya hatiku pada ketika itu. Sekali lagi serangan psikologi menyerangku. Perasaan sedih  tidak dapat dibendung lagi sewaktu pendaki lain mula melangkah ke puncak pada jam 8 pagi. Segala impian selama 12 tahun selama ini hancur berkecai begitu saja disaat-saat akhir. Berkali-kali aku cuba untuk bangun semula menyertai rakan-rakan yang telah mula mendaki tetapi ternyata usaha itu gagal.

Jam 8.30 pagi, suasana ketika itu terlalu sunyi. Aku keseorangan di dalam khemah bertemankan gambar keluarga dan kain batik ibuku yang dibawa dari kampung. Kain batik itu  kugenggam erat. Menahan kesakitan yang masih belum lagi berkurangan. Sekali lagi aku bertekad untuk bangun. Aku kumpul segala semangat yang ada selama ini. Kedengaran seolah-olah suara mak, abah, keluarga, Dato’ KP, Dato’ TKP, Tuan Komandan, Tuan Sani, warga bomba dan semua rakan-rakan bergema disekelilingku memberikan semangat untukku bangun. Berdiri bulu romaku pada ketika itu. Lantas, aku gagahkan juga untuk bangun perlahan-lahan menuju ke khemah.

Aku sempat meneguk air ‘black tea’ untuk mengisi perut. ‘Haversack’ yang berjenama ‘karrimor independence’ kesayanganku segera kucapai dan terus digalas di bahu bersama dengan ‘tongkat saktiku’ tergenggam erat di tangan. Langkah dihayun dengan berhati-hati agar tidak tersalah memijak batu-batu yang boleh mengakibatkan bahaya kepadaku.

Tidak lama selepas itu, aku ternampak kelibat Bon yang bertindak selaku ‘sweeper’  dari jauh. Beliau tersedar akan kehadiranku dan segea menyapa “Rul, are you okay?” soalnya ragu-ragu. “Yes Bon. Im ready 4 summiters. Nobody can stop me now”. jawabku dari jauh untuk meyakinkannya. Beliau hanya mengganguk memberi isyarat kebenaran kepadaku setelah melihat kepada kesungguhanku ketika itu. Sejurus selepas itu beliau menasihatiku, “ Safety first young man. Be strong. You will summiters..”. Aku terus melangkah meninggalkannya di belakang dengan semangat yang semakin berkobar-bobar walaupun dahiku kerap-kali berkerut menahan kesakitan yang dirahsiakan.

Aku terus menyambung perjalanan hingga terserempak dengan Angah, anak kepada Tuan Maarif. Beliau telah berpatah balik kerana tidak mampu untuk meneruskan pendakian akibat kurang sihat sejak dari hari pertama pendakian di Lukla lagi. Syabas untuknya kerana telah berjaya bertahan hingga ke peringkat ini.

Tidak lama selepas itu aku semakin hampir dengan Tuan Nazri, Mazrul dan beberapa pendaki  lain yang sedang sibuk memasang antenna untuk dihubungkan dengan Tuan Malek di Namche Bazar bagi membolehkan kami membuat liputan secara langsung detik-detik kejayaan di puncak dengan Pengarah Urusan KLIA di Malaysia. Kemudian kami menyambung perjalanan terus ke puncak Kalapattar yang telah pun kelihatan seolah-olah melambai ke arah kami. Semangat kami semakin membara. Angin pada ketika itu bertiup dengan kuat sekali. Faridah yang mempunyai susuk tubuh yang kecil terpaksa dibantu oleh Sherpa agar tidak ditiup angin. Mr. Lakhpa selaku ketua Sherpa juga memaklumkan bahawa sepanjang pendakiannya ke sini, inilah kali pertama beliau berhadapan dengan angin yang sekuat ini.

Dua jam selepas itu, aku semakin hampir dengan puncak setinggi 5545 meter itu. Jam 11.30 pagi kelihatan Firdaus, Azmi dan Suadi telah pun berjaya sampai di puncak dan sedang meraikan kejayaan mereka. Akhirnya pada jam 11.45 pagi langkahku telah sampai ke kemuncaknya. Aku amat gembira dan bersyukur kepada Tuhan diatas kejayaan ini. Aku memerhatikan pemandangan sekelilingku. Gunung-ganang tersergam indah di sekeliling kami seperti Gunung Pumori (7161m), Lhotse (8516m), Nuptse (7855m), Ama Dablam (6812m), Thamserkhu (6623m ) dan lain-lain lagi.  Satu pemandangan yang tak dapat dijelaskan melainkan berada sendiri di sana. Berhadapan dengan Gunung Kalapattar, terbentang Gunung Everest dengan begitu jelas. Tak henti-henti bibirku memuji kebesaran Allah. Aku juga dapat melihat Everest Base Camp yang terletak tidak begitu jauh dengan ‘campsite’ kami di Gorak Shep.


Angin dan cuaca begitu sejuk ketika berada di puncak. Pendaki-pendaki lain masih belum kelihatan. Mungkin sedang berhempas-pulas saki-baki tenaga dan semangat yang masih ada. Aku segera mengambil kamera di dalam poket khas di dada bajuku bagi mengelakkan kerosakkan akibat sejuk dan terus mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan yang terindah di dalam hidup. Suhu pada ketika itu ialah -2oc dan angin yang bertiup dianggarkan kira-kira 60-80 km/j. ini membuatkan kami semakin kesejukkan sehingga untuk bercakap pun amat sukar dirasakan.

Semasa aku berada di puncak pada ketika itu, terdapat juga pendaki-pendaki dari negara lain yang turut sama meraikan kejayaan mereka berada di puncak seperti negara Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan lain-lain. Aku juga dapat merasakan kepuasan dari riak wajah mereka tetapi mereka agak bersahaja dengan kesejukkan yang menggigit tulang itu. Mungkin kerana mereka juga sudah biasa dengan keadaan sejuk di negara mereka sendiri.

Tidak lama selepas itu, beberapa lagi pendaki Malaysia telah pun kelihatan. Kami jangkakan mereka akan sampai ke puncak lebih kurang setengah jam lagi. Masa itu terlalu lama bagi kami untuk terus berada di puncak dan berperang dengan kesejukkan walaupun disimbah dengan cahaya matahari yang terik.

Selepas hampir 20 minit kami berada di puncak, kami mengambil keputusan untuk turun dan memberi peluang kepada pendaki-pendaki lain mengambil tempat memandangkan ruang yang agak sempit di puncak kalapattar itu. Pada waktu itu, jari-jari tanganku terasa sejuk, keras dan tidak mampu untuk bergerak. Mungkin kerana aku membuka sarung tangan untuk mengambil gambar sebentar tadi.

Puas aku cuba untuk menggenggam dan menggerakkannya tetapi tidak berhasil. Kesakitan semakin terasa tetapi aku hanya mendiamkan sahaja dari pengetahuan rakan-rakan. Bimbang jika aku akan menyusahkan mereka. Aku amat faham, mereka juga kepenatan dan agak lemah sepertiku.  Lantas, tanganku segera  kumasukkan ke dalam kedua-dua poket seluar supaya mendapat haba panas dari badan. Aku terus melangkah dengan lebih laju meninggalkan rakan-rakan lain di belakang agar cepat sampai ke khemah dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Perjalanan turun mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk sampai ke khemah kami di Gorak Shep. Sejurus selepas sampai, aku segera merebahkan badan di dalam khemah makan dan cuba memanaskan jari dan badanku. Tetapi ternyata usahaku itu tidak memberikan hasil.

Sepuluh minit selepas itu Dorji Sherpa masuk ke dalam khemah makan untuk mengambil sesuatu. Aku segera memaklumkan kepadanya. Dia agak terkejut dan segera memegang tanganku dan menggosok-gosokkan dengan tangan kasarnya disulami dengan urutan. Aku hanya mampu mengerutkan dahi menahan kesakitan tanpa mampu berkata apa-apa. Ruang di dalam khemah semakin ramai dengan pendaki-pendaki lain dan juga shepa yang baru sampai. Akhirnya, jari-jariku sudah mula menampakkan perubahan positif. Alhamdulillah, syukur kepada tuhan. Aku sudah boleh menggerakkan jari  walaupun perlahan. Aku amat berterima kasih kepada Dorji Sherpa yang membantuku. Aku mengeluarkan ‘hand warmer’ yang dibeli di Kathmandu dari dalam poket untuk diramas. Ternyata alat itu membantuku sedikit sebanyak dari terus kekejangan akibat sejuk.

Selepas makan tengah hari, jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Kami semua hanya berehat di khemah masing-masing. Kami juga mulai risau kerana kelibat Wan Hasni masih belum sampai di Gorak Shep. Beliau sepatutnya dijadualkan sampai di Gorak Shep pada waktu ini bersama-sama dengan seorang lagi Sherpa yang ditinggalkan untuk menemaninya . Kami meramalkan mungkin beliau akan sampai selewat-lewatnya petang ini kerana badannya terlalu lemah yang mungkin memperlahankan pergerakkannya.

Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Semua pendaki sudah berada di dalam khemah untuk menikmati jamuan. Ramai diantara kami yang kehilangan selera makan dan hanya mampu menjamah mee segera sahaja. Bon memaklumkan Wan Hasni masih juga belum sampai. Ini semakin menambahkan kerisauan di lubuk hati kami.

Malam itu juga kami dihidangkan dengan kek buah yang dibuat sendiri oleh Gopal selaku tukang masak kami untuk meraikan kejayaan pendaki-pendaki yang bergelar ‘summiters’. Acara itu merupakan tradisi Sherpa-sherpa di sana. Kemudian kami membincangkan pergerakan untuk esok hari. Seperti di dalam jadual, esok kami semua akan bergerak ke Everest Base Camp untuk bergambar dan balik semula ke Gorak Shep. Kemudian, dari Gorak Shep kami akan memulakan perjalanan turun untuk mendapatkan Wan Hasni di Lobuche. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam di kawasan bersalji dan suhu disana dijangkakan mencecah -10oc sehingga -15oc. Lakhpa Sherpa yang mengetuai kami semua juga memaklumkan supaya kami berhati-hati semasa berada di sana kerana bimbang sekiranya terjadi runtuhan salji sewaktu dalam perjalanan apabila matahari memanaskan salji di kawasan pergunungan. 


3 Nov 2009 (Hari keempat belas)

Pagi ini semua 14 orang pendaki bangun awal seperti biasa. Kesihatanku pada hari ini masih seperti semalam. Benarlah kata pendaki-pendaki yang pernah mendaki Banjaran Himalaya ini bahawa sekiranya kita sudah mulai sakit, sukar untuk pulih selagi tidak turun ke paras yang lebih rendah.

Selepas sarapan dan berkemas, pendakian ke Everest Base Camp pun bermula pada jam 8.30 pagi. Suasana ketika itu sangat sejuk. Namun, pemandangan yang indah di sepanjang perjalanan membuat kami lupa akan penderitaan yang sedang ditanggung.

Selepas bergambar beramai-ramai, kami terus menuju ke Periche. Terasa sedih pula untuk turun meninggalkan tempat itu. Dengan pemandangan yang begitu mengasyikkan dan juga gunung Everest yang sudah pun begitu hampir, terasa berat kaki untuk melangkah. Sempat aku menoleh ke belakang untuk melihat semula panorama itu sepuas-puasnya. Salji yang mencair dan menjadi kabus yang berarak perlahan dari puncak Everest akibat bahang dari sinaran matahari pada pagi itu seolah-olah turut bersedih dengan perpisahan ini. Tiba-tiba terukir satu senyuman yang aku tidak pasti mengapa. Mungkin kerana kepuasan kerana impianku telah menjadi kenyataan. “Aku pasti akan kembali ke sini. Aku pasti kembali kepangkuanmu…” bisik hati kecilku memujuk diri sendiri. Setelah 12 tahun aku menanam impian untuk ke sini, hari ini terasa bagaikan hari yang begitu sukar untuk dilalui.

Perjalananku pada hari ini begitu perlahan.  Aku perhatikan rakan-rakan pendaki yang lain juga begitu. Tetapi tidak sepertiku. Aku rasakan terlalu sukar untuk melangkah dan acapkali penat menjengah selepas dua atau tiga langkah kususun dengan teliti. Lama-kelamaan rakan-rakanku mula hilang dari pandangan. Yang tinggal hanya aku dan Sherpa yang bertindak menjadi ‘sweeper’ kumpulan kami.

Selepas beberapa jam berjalan, akhirnya kami sampai di Lobuche. Tempat perkhemahan kami dua malam yang lalu. Disini jugalah kami tinggalkan Wan Hasni untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Kami telah dimaklumkan oleh penduduk tempatan disitu bahawa beliau telah turun ke Periche untuk mendapatkan rawatan.

Aku terus menghayun langkah untuk berjalan bersama ahli kumpulan yang langsung tidak kelihatan. Sherpa memaklumkan kepadaku bahawa kami akan berjumpa di Toughla untuk berehat dan makan tengah hari.

Sepanjang perjalanan menuju ke Toughla, tiba-tiba aku merasakan ada sesuatu di telinga kiriku. Aku dapat rasakan telingaku berdengung akibat angin yang keluar dan masuk melalui corong telinga. Aku cuba untuk mengatasi masalah tersebut dengan memicit hidung dan menghembuskan nafas sekuat-kuatnya sama seperti aku lakukan sewaktu menyelam skuba dan melakukan aktiviti payung terjun. Puas aku lakukan berulangkali tetapi tidak berhasil. Aku cuba untuk tidak panik dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Aku amat pasti mungkin ini adalah kesan dari altitud yang tinggi dan akan kembali normal apabila berada di paras yang lebih rendah nanti.

Semasa dalam perjalanan, tidak terkira berapa kali aku melabuhkan punggung di atas batu untuk berehat. Badanku terasa amat penat ketika itu. Tidak sabar rasanya untuk sampai ke tempat yang dituju untuk berehat. Aku perhatikan Sherpa masih setia mengekoriku walaupun wajahnya sudah tidak mampu untuk tersenyum.

Jam menunjukkan pukul 2 petang. Lodge Toughla sudah kelihatan dari jauh tetapi masih memerlukan masa yang panjang untuk sampai. Perlahan-lahan aku menuruni permukaan bumi di kawasan itu yang berbatu-batu. Sherpa yang dari tadi mengekoriku sudah mula mempercepatkan langkahnya menuju ke Lodge dan meninggalkanku terkontang-kanting di belakang keseorangan. Terasa bagaikan hendak berlari sahaja menuju ke Lodge agar segera sampai tetapi untuk melangkah lebih dari 10 langkah tanpa henti pun aku tak mampu, inikan pula untuk berlari. Terlintas di fikiranku betapa mencabarnya pendakian kali ini kerana inilah kali pertama aku mendaki sejak berumur 6 tahun, keadaanku terlalu lemah seperti ini.

Jam sudah pun pukul 2.30 petang. Aku masih mempunyai 50 meter sahaja lagi untuk sampai di Lodge. Aku lihat dari jauh Firdaus, Azmi dan Suadi bangun dari kerusi masing-masing menuju kearahku. Mungkin untuk membantuku. Tiba-tiba, langkahku terlalu lemah lalu aku tersepak seketul batu dan terus jatuh ke curam yang berada disebelah kiriku. Aku sudah tidak sedarkan diri pada ketika itu. Rakan-rakan aku menceritakan bahawa aku telah jatuh tergolek kira-kira 10 meter. Mereka amat panik dan terus berlari untuk mendapatkanku.

Setelah diperiksa tidak ada kepatahan di bahagian badanku, mereka segera mengangkatku menuju ke Lodge. Masing-masing menunjukkan kerisauan di wajah mereka kerana aku tidak memberi sebarang tindak balas. Hidungku mengalir darah bersama hingus yang tidak dapat dikawal lagi oleh otak. Keadaan Lodge ketika itu mula gempar dengan pendaki-pendaki dari negara lain yang cuba ingin membantu dan tidak kurang juga yang hanya menjadi pemerhati terhormat.

Mujurlah pada ketika itu, ada 2 orang pendaki dari Amerika Syarikat yang juga merupakan seorang doktor dan jururawat. Setelah diperiksa, mereka meminta ketua kumpulan kami untuk segera mendapatkan bantuan helikopter ataupun membawa aku turun ke hospital Periche dengan kadar segera. Hospital Periche terletak agak jauh kira-kira 2 jam perjalanan dari situ.

Sejurus selepas itu, Lakhpa Sherpa mengarahkan seorang Sherpa berlari ke Periche untuk mendapatkan bantuan helikopter  dengan berhubung melalui telefon memandangkan kawasan di Toughla tidak mempunyai kemudahan komunikasi. Jam pada ketika itu sudah pun menunjukkan pukul 3.30 petang. Lakhpa mengarahkan pendaki-pendaki lain turun ke Periche bersamanya kecuali Bon dan Tuan Nazri untuk menjagaku kerana sudah terlewat dan untuk mengelakkan kumpulan dari menempuh perjalanan di waktu malam. Aku masih tidak sedarkan diri pada ketika itu dan masih lagi diberi rawatan oleh doktor.

Kini jam sudah pun menunjukkan pukul 5.30 petang. Hari mulai gelap. Bantuan udara masih lagi belum tiba. Tuan punya Lodge dapat mengagak bahawa bantuan udara mungkin tidak akan sampai kerana cuaca yang sudah mula gelap. Aku masih juga tidak menunjukkan tanda-tanda positif untuk sedar. Dari penceritaan Bon, pada waktu inilah aku telah 2 kali nazak dan menarik nafas yang panjang sehingga membuatkan mereka panik dan terkejut. Suasana pada ketika itu amat sayu dan pilu. Semua yang ada disitu membisu dan hanya mampu memandang kearah tubuhku yang kaku. Berkali-kali namaku dipanggil namun aku masih juga tidak sedar. Mataku tertutup rapat tetapi airmataku tidak henti-henti mengalir membasahi pipi. Aku sendiri tidak pasti kemana mindaku melayang pada waktu itu.

Matahari sudah lama melabuhkan tirai dan bulan pula keluar meneruskan tugasnya menyinari kawasan pergunungan di banjaran itu. Jam sudah pun pukul 7 malam. Bon,Tuan Nazri dan tuan punya lodge serta keluarganya masih setia menemaniku dengan harapan aku akan sedar. Tidak lama selepas itu, 2 orang Sherpa tiba dari Periche dan memberikan sehelai nota ringkas dari Lakhpa kepada Bon. Lakhpa memaklumkan di dalam nota tersebut bahawa bantuan helikopter hanya akan tiba pada pagi esok hari dan mengarahkan aku dibawa turun ke Periche oleh 2 orang Sherpa tersebut.

Tanpa berlengah lagi, setelah membayar makan malam kepada kedua-dua Sherpa itu tadi oleh Bon, aku mula dibawa turun dengan cara ‘piggy back carry’ ataupun dikendong di belakang. Aku dikendong secara bergilir-gilir oleh Sherpa tersebut selama 2 jam menuju ke Periche membelah kepekatan malam dan kesejukan yang mula membekukan anak sungai di kawasan itu.

Sejurus selepas aku tiba di hospital di Periche atau dikenali dengan Himalaya Rescue Association (HRA), aku terus diberi rawatan segera oleh 3 orang doktor pakar altitud dari England iaitu Dr. Andy, Dr. Jeane dan Dr. Rachel. Mereka bertugas disana secara sukarela selama 3 bulan sepanjang musim pendakian kali ini. Aku juga telah dimasukkan ke dalam Certec Chamber dan dipam oleh rakan-rakan selama lebih 2 jam, disuntik Steroid beberapa kali, diambil sampel darah dan diberi bantuan oksigen. Doktor memaklumkan aku telah terkena sejenis penyakit altitud  yang dinamakan High Altitud Cerebral Edema (HACE) ataupun otak berair. Kesan daripada penyakit itu ialah pesakit akan mengalami batuk yang berterusan, muka membengkak, kepenatan, kurang daya ingatan, kurang selera makan dan lain-lain lagi yang mana boleh membawa maut sekiranya tidak mendapatkan rawatan dengan segera.

Aku mulai dapat membuka mata pada jam 11 malam setelah sekian lama dipam di dalam ‘chamber’ tetapi masih tidak mampu untuk bercakap. Aku dapat melihat rakan-rakan mengelilingiku  melalui cermin ‘chamber’ yang berada di hadapan mukaku. Mereka diarahkan oleh doktor supaya sentiasa berbual denganku untuk mendapatkan tindak balas dariku. Tuan Nazri dan Bon sedang sibuk menghubungi pegawai Kedutaan, En. Amri dan keluargaku di kampung. Mereka juga turut berhubung dengan Komandan tempat aku bertugas iaitu Tuan Norhisyam untuk mendapatkan kepastian berhubung dengan pengurusan helikopter untuk menurunkan aku pada pagi esok.

Selepas semuanya agak terkawal, rakan-rakan pendaki yang lain meminta diri untuk pulang ke khemah kerana waktu sudah agak lewat. Mereka juga perlukan rehat yang secukupnya kerana akan menyambung perjalanan menuju ke Namche Bazar pada keesokkan hari. Satu perjalanan yang sangat jauh untuk dilalui.

Sepanjang malam, setiap 1 jam doktor akan datang untuk membuat pemeriksaan ke atasku secara bergilir-gilir. Doktor juga menggantikan tangki oksigen dengan tangki yang baru sekiranya telah kehabisan. Aku amat kagum dengan mereka yang menjadi sukarelawan disini dengan memberi perkhidmatan tanpa dibayar gaji. Walaupun usia mereka masih muda dalam lingkungan 20-an, mereka begitu komited dan berdedikasi. Kecantikan serta kelembutan Dr. Rachel dan Dr. Jeane membuatkan aku amat senang dan selesa. Mereka sangat peramah dan pandai mengambil hati sehingga membuatkan aku lupa seketika kesakitan yang dihadapi.

Malam itu aku ditemani oleh Firdaus di wad hospital. Perasaanku amat terharu mendapat rakan-rakan yang begitu mengambil berat walaupun tak sampai 2 bulan aku mengenali hati budi mereka semua. Mana tidaknya, mereka semua bertugas di Malaysia Airports Berhad (MAB) KLIA. Aku pula di Kuala Kubu Bharu dan projek ini pula merupakan anjuran oleh MAB sendiri.


4 Nov 2009 (Hari Kelima Belas)

Pagi ini Dr. Rachel menyediakan roti bakar dan ‘black tea’ sebagai sarapan untukku. Aku makan dengan begitu berselera sekali kerana telah tidak menjamah apa-apa semenjak dari pagi semalam. Setelah bersarapan, aku diberi beberapa biji ubat oleh Dr. Rachel. Firdaus meminta diri untuk pulang ke khemah kerana perlu berkemas sebelum mereka meneruskan perjalanan. Dalam masa yang sama Suadi, Wan Hasni dan Tuan Nazri pula sampai. Wan Hasni masih belum sihat dan akan terbang bersamaku ke Kathmandu. Suadi bersalaman dan berpelukan denganku. Beliau memaklumkan telah menyiapkan beg aku untuk dibawa menaiki helikopter bersama-sama dengan barang-barang Bon dan Wan Hasni. Suadi agak tergesa-gesa kerana perlu bergegas balik ke khemah kerana beliau dan pendaki-pendaki lain sudah bersedia untuk  bergerak turun ke Namche Bazar.

Helikopter dijangkakan akan sampai pada jam 9 pagi dan akan mendarat di kawasan ‘helipad’ 100 meter dari HRA. Aku keluar menuju ke tempat menunggu di helipad dengan dipimpin oleh Dr. Andy dan Dr. Rachel. Turut sama bersama kami ialah Bon, Tuan Nazri, Wan Hasni dan Doji Sherpa yang membawa beg kami. Tuan Nazri dan Dorji Sherpa akan menghantar kami menaiki pesawat dan terus turun menuju ke Namche Bazar bersama-sama dengan kumpulan yang telah pun bergerak turun sejam yang lalu.

Helikopter masih tidak kelihatan setelah sejam kami menunggu. Sambil terenyum Dr. Andy memberitahu aku bahawa keadaan helikopter lewat adalah menjadi kebiasaan di sini. Aku menunduk dan membalas senyumannya tanda faham.

Sepanjang kami menunggu helikopter tiba, aku dan Dr. Andy berbual banyak perkara. Dari hal perubatan, penyakit altitud, hobi, mendaki gunung dan sehingga ke bolasepak. Dr. Andy juga pandai bergurau denganku. Beliau yang merupakan peminat setia Tottenham tiba-tiba ingin mencabut alat pernafasanku setelah mengetahui aku merupakan peminat Manchester United. Selepas itu kami hanya ketawa bersama-sama.

Dalam perbualan kami aku sempat mengulangi pertanyaan kepada beliau selepas mula-mula aku sedar semalam iaitu dapatkah aku mendaki semula. Beliau dengan pasti, memberi jaminan bahawa aku boleh mendaki semula ke sini tetapi perlu mendapat rehat yang secukupnya. Dr. Andy juga ada memaklumkan antara faktor utama aku diserang HACE ini ialah kerana badan yang kurang rehat. Beliau telah dimaklumkan bahawa aku telah berkayak dari Malaysia ke Indonesia selama 10 jam sebelum ke Nepal oleh rakan-rakan semalam. Kami sempat juga membuat perancangan untuk mendaki gunung Everest bersama nanti dalam masa 2 tahun dari sekarang dan beliau berjanji akan menjadi doktor peribadi kepadaku. Semoga impian ini akan menjadi kenyataan sekali lagi.

Pukul 10.45 pagi, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi kipas helikopter dari celah-celah puncak gunung yang terdapat di sekitar Periche. Helikopter yang hanya dipandu seorang juruterbang itu segera dinaiki oleh aku, Bon dan Wan Hasni dan terus membelah awan meninggalkan Periche. Kami sempat melambai tangan tanda berpisah kepada mereka di bawah.

Sewaktu dalam penerbangan, kelihatan Banjaran Himalaya begitu cantik dengan gunung-ganang yang berbalam-balam.  Kami juga dapat melihat trek-trek yang telah kami lalui semasa dalam perjalanan naik tempohari. Selepas 10 minit berlepas, kelihatan rakan-rakan pendaki dari Malaysia sedang dalam perjalanan turun ke Namche Bazar. Aku hanya mampu mendoakan keselamatan mereka semua. Angin ketika itu agak kuat sehingga menggegarkan helikopter kecil yang kami naiki itu. Aku perhatikan wajah Bon agak cemas kerana inilah kali pertama beliau menaiki helikopter.



DARI LUKLA KEMBALI KE KATHMANDU

Kami telah mendarat sebentar di Lukla untuk mengisi minyak. Penerbangan kami menuju ke Kathmandu telah mengambil masa selama 3 jam. Selepas sampai di landasan lapangan terbang, kami telah dibawa menaiki kenderaan pacuan 4 roda menuju ke kawasan luar lapangan terbang dimana ambulan telah sedia menunggu.

Aku dibawa dengan ambulan menuju ke Nepal International Clinic, Travel and Mountain Medicine Centre di Bandar Kathmandu. Keadaan ambulan aku perhatikan amat daif dan peralatan di dalamnya juga agak kurang. Aku tidak hiraukan keadaan itu dan terus menyedut oksigen yang dibawa bersama dari HRA yang masih tinggal kurang dari 10%.

Apabila aku sampai di klinik tersebut, aku segera dibawa ke dalam bilik rawatan dimana 2 orang doktor telah sedia menunggu. Disitu, aku telah diambil ujian darah, xray, pernafasan dan lain-lain lagi.  Setelah segala rawatan selesai, aku juga dibekalkan dengan beberapa jenis ubat. Aku agak terkejut dengan saiz ubatnya yang agak besar dari saiz ubat kita di Malaysia.

Selepas keluar dari bilik rawatan, En. Amri dan seorang lagi pegawai dari pejabat kedutaan telah menungguku di bilik menunggu. Beliau memberitahu aku bahawa keluargaku dikampung telah pun dimaklumkan mengenai keadaanku disini. Segala pembayaran bil untuk helikopter dan rawatan akan diuruskan oleh beliau dengan Tuan Sani dan abangku di Malaysia. En. Amri juga menasihatkan aku supaya tidak terlalu bimbang dan mendapatkan rehat yang secukupnya di hotel. Selepas itu, kami pulang ke Hotel Tashi Dhele bersama dengan Mr. Furi yang turut menemani kami di klinik tersebut. Sebelum sampai di hotel, kami singgah untuk makan tengah hari di Restoran Anatolia.

Semasa di Restoran Anatolia, kami tidak melepaskan peluang menikmati makanan dengan sepuas-puasnya. Kami memesan nasi beriani kambing dan ayam tandoori sebagai hidangan tengah hari itu.  Mr. Furi hanya ketawa melihat kami yang pada ketika itu seperti mangsa kebuluran yang telah sekian lama tidak menjumpai makanan.


5 Nov 2009 (Hari Keenam Belas)

Hari ini aku hanya berehat dan mengambil kesempatan menghantar email kepada Tuan Sani dari lobi hotel. Tuan Sani amat risaukan keadaanku. Beliau dan Tuan Komandan sedang dalam usaha untuk mencari perbelanjaan bagi menampung bil perubatanku yang mencecah sehingga RM 22 ribu. Aku amat terharu membaca email yang dikirimkan oleh beliau. 

Di dalam emailnya, beliau ada memaklumkan bahawa mereka telah berjaya mendapat hampir sebahagian dari keseluruhan perbelanjaan tersebut dan akan berbincang dengan abangku bagaimana strategi untuk mencari lagi baki yang masih diperlukan dari masa ke semasa.  Sesungguhnya beliau telah banyak membantu aku dan keluarga disaat-saat kami memerlukan pertolongan. 

Aku amat berterima kasih diatas usaha yang telah beliau lakukan selama ini. Sesungguhnya, tanpa beliau juga impianku selama ini takkan menjadi kenyataan dan aku amat pasti, tanpanya juga aku dan keluargaku pasti akan lebih tertekan untuk mencari dan menguruskan pembayaran bil sebanyak itu.


6 Nov 2009 (Hari Ketujuh Belas)

Hari ini kesihatanku semakin pulih cuma masih lagi selsema, batuk-batuk, dan sakit kepala. Hari ini juga aku diserang cirit-birit yang agak teruk. Pada pendapat aku, ini mungkin kesan dari ubat yang aku ambil dari klinik tersebut ataupun perubahan altitud yang berlaku keatas diriku.

Hari ini juga En. Amri membawa makanan untuk kami bertiga yang dimasak sendiri olehnya. Nasi lemak yang dibawanya cukum membangkitkan selera kami yang telah sekian lama tidak merasai makanan Malaysia. Agak banyak aku jamah pada hari itu. Tak sabar rasanya untuk pulang ke Malaysia menikmati makanan yang dimasak sendiri oleh ibuku di kampung.


7 Nov 2009 (Hari Kelapan Belas)

Hari ini pasukan pendaki dari Malaysia akan pulang ke hotel. Mereka dijangka akan sampai di hotel sebelum tengah hari. Jam 10.30 pagi, sambil aku menikmati sarapan di luar hotel, tiba-tiba 2 buah van masuk ke dalam kawasan hotel tersebut. Kesemua 15 pendaki telah sampai dengan selamat. Mereka telah dijemput oleh Mr. Furi di lapangan terbang sejak dari awal pagi lagi. Kami bersalaman dan berpelukan seolah telah sekian lama berpisah. Kelihatan mereka agak letih dan juga lapar. Kami makan bersama sambil berbual panjang bercerita tentang setiap perkara. Ada juga yang terus naik ke bilik setelah mendapat kunci daripada petugas hotel kerana tidak sabar-sabar untuk mandi. Mana tidaknya, dah berhari-hari mereka tidak mandi sejak dari hari pertama pendakian lagi. Untuk menghidu bau badan sendiri pun sudah tidak tertahan kata mereka.


8 Nov 2009 (Hari Kesembilan Belas)

Setelah bersarapan pada pagi ini, aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar pekan Thamel bersama beberapa lagi rakan pendaki. Kami bercadang membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Pada pukul, 12.00 tengah hari, aku dan 5 orang lagi telah bersedia untuk ke rumah En. Amri kerana beliau telah menjemput kami untuk makan tengah hari dirumahnya. Beliau akan menjemput kami dengan keretanya memandangkan hari ini beliau bercuti disebabkan hari minggu. Perjalanan ke rumahnya agak jauh dan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai. Sepanjang perjalanan, En. Amri bertindak seolah-olah menjadi pemandu pelancong kepada kami.  Banyak tempat-tempat dan cerita-cerita  menarik serta pelik yang ditunjukkan kepada kami yang sedang kelaparan ketika itu.

Apabila sampai sahaja di rumah beliau, kami agak terkejut dengan rumahnya yang begitu besar dan cantik. Seorang lagi pegawai kedutaan iaitu En. Khairi menyambut kami di muka pintu untuk makan bersama. Dari luar rumah lagi, telah terhidu masakan Malaysia yang begitu menaikkan selera. Aku juga meminta keizinan untuk menumbuk sambal belacan daripadanya kerana telah sekian lama tidak merasai makanan kegemaranku itu.

Tengah hari itu kami menjamu selera dengan sepuas-puasnya. Ayam masak lemak, ikan pekasam, ikan bawal goreng dan lain-lain lagi begitu mengujakan kami ditambah pula dengan sambal belacan yang agak pedas.


9 Nov 2009 (Hari kedua puluh)

Hari ini kami semua dijemput ke pejabat kedutaan untuk majlis jamuan makan tengah hari yang disediakan oleh Duta kepada kami. Kakitangan pejabat kedutaan menyambut kami dengan begitu mesra sekali. Makanan yang disediakan juga amat menyelerakan sehingga  nasi yang begitu banyak terpaksa dimasak sekali lagi kerana kehabisan. Kemudian kami menyambut majlis memotong kek hari lahir Farah pada hari itu bersama-sama dengan Duta dan kakitangan pejabat. Setelah segalanya selesai, aku mengambil kesempatan untuk bergambar bersama dengan Duta sebagai kenang-kenangan.

Disebelah malamnya pula Mr. Furi mengadakan majlis penyampaian sijil dan makan malam kepada kami semua di Restoran Anatolia. Kelihatan semua pendaki begitu berbangga dan gembira sekali setelah segala penat lelah selama ini berhasil dan berakhir dengan malam yang sangat meriah itu.


10 Nov 2009 (Hari kedua puluh satu)

Hari yang dinanti telah tiba. Hari untuk semua pendaki pulang ke pangkuan keluarga dan orang tersayang di tanahair. Pada pagi ini kami semua telah berkumpul di lobi hotel pada jam 9 pagi menunggu pengangkutan yang disediakan oleh Mr. Furi.

En. Amri juga telah datang pada pagi itu untuk menyerahkan segala butiran bil dan resit bayaran perubatan kepadaku. Beliau tidak dapat menemani kami ke lapangan terbang kerana ada urusan yang perlu diselesaikan dan terus menuju ke pejabatnya selepas bersalam-salaman serta mengucapkan selamat jalan kepada kami.

Setelah agak lama menunggu Mr. Furi pun tiba dengan sebuah lori kecil untuk membawa beg serta peralatan kami ke lapangan terbang. Dalam kesibukan kami mengangkat beg ke dalam lori, tuan punya hotel yang kami panggil dengan nama ‘Didi’ yang bermaksud kakak bersama anaknya Pasang, memakaikan kami selendang sutera setiap seorang sebagai hadiah yang juga merupakan tradisi masyarakat Nepal mengucapkan selamat jalan dan tanda perpisahan.

Kami mulai bergerak meninggalkan hotel dengan berjalan kaki dan melalui Pekan Thamel untuk kali yang terakhir. Sedih rasanya untuk tinggalkan ‘syurga outdoor’ ni walaupun kami agak bosan dengan bunyi hon kenderaan yang membingitkan telinga hampir setiap saat saban hari.

Bas telah pun sedia menunggu kami di luar pekan Thamel. Kami terus dibawa menuju ke lapangan terbang. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat banyak polis dan anggota keselamatan bersiap-sedia di tepi-tepi jalan. Mr. Furi memberitahu kami bahawa pada hari itu akan diadakan tunjuk perasaan oleh kumpulan Moist satu kumpulan komunis yang berhasrat mengulingkan kerajaan Nepal. Oleh sebab itulah kami terpaksa dibawa awal ke lapangan terbang kerana bimbang tersangkut di dalam kesesakan jalan raya dan perkara-perkara lain yang tidak diingini.

Penerbangan kami dijadualkan berlepas pada pukul 1.30 tengah hari dengan menaiki pesawat Thai Airways. Seperti biasa, layanan yang diberi oleh krew syarikat penerbangan tersebut agak tidak memuaskan hati kami. Mereka kurang mesra dengan penumpang. Tidak seperti layanan oleh MAS. Maka tidak hairanlah mengapa MAS mendapat pengiktirafan dunia. Sewaktu dalam penerbangan kami menikmati hidangan dengan begitu berselera sekali kerana masing-masing agak kelaparan.

Kami sekali lagi terpaksa mendarat di lapangan terbang Bangkok untuk menukar pesawat. Sebaik saja sampai di Bangkok kami bergegas menuju ke tempat berlepas kerana pesawat kami akan berlepas kira-kira 20 minit sahaja lagi. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke KLIA, aku dapat melihat wajah setiap pendaki begitu teruja sekali. Masing-masing tidak sabar untuk sampai ke tanahair tercinta. Kami seringkali menjenguk ke arah luar tingkap untuk melepaskan rindu melihat bumi Malaysia walaupun keadaan gelap pada ketika itu kerana hari telah pun malam.

Pukul 10.05 malam kami selamat mendarat di KLIA. Pengarah Urusan KLIA Tan Sri Bashir  dan beberapa pegawai atasan KLIA telah pun menunggu kami dengan senyuman. Beliau mengucapkan ucapan tahniah kepada kami semua. Selepas itu kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan dan terus menaiki tren menuju ke ruang ketibaan. Sewaktu menunggu untuk mengambil beg, Senah @ Asmawati yang bertugas di  KLIA juga turut datang untuk menyambutku dan mengucapkan tahniah sambil mengatakan “Hang memang gila Loe..!” aku hanya tersenyum kepadanya dan berterima kasih kerana sanggup untuk menjemputku.

Semasa keluar di ruang ketibaan KLIA pada jam 11 malam, kelihatan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan kami telah lama menunggu. Aku disambut oleh Tuan Sani, Salman, abang serta kakak iparku dan Zam Pgurlz yang telah sekian lama menanti sejak dari pukul 9.30 malam lagi. Aku amat terharu dengan kesanggupan mereka untuk menjemputku. Aku bersalaman dan berpelukan dengan mereka. Malam itu kami semua disambut bagaikan ‘Wira’. Wira yang baru pulang dari medan peperangan. Aku tersenyum kepuasan seorang diri tanpa mereka sedari. 

Selain dari pengalaman berharga dan pemandangan indah, pendakian gunung ini juga secara tidak langsung telah mengeratkan lagi ikatan silaturahim. Aku amat bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan dapat kembali ke bumi Malaysia yang tercinta. Jauh di lubuk hati kecil aku berbisik, “Himalaya, tunggu… aku akan kembali suatu hari nanti..”

Sekian…. Tamat.


Sumber : Disini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...